TRAGEDI BERDARAH ROMBONGAN SEKOLAH

4  orang maut treler rempuh bas. (Al-Fatihah untuk semua mangsa terkorban)

Inilah cerita yang menggemparkan negara pada hari ni. Kebanyakan akhbar hari ni memaparkan kisah sedih para pelajar yang dalam rombongan ke taman rekreasi Genting Highland apabila ada sahabat-sahabat mereka terbunuh dalam kemalangan semalam. Dalam hati ni, geram dan sedih bercampur baur. Akibat kecuaian manusia, anak-anak ni menjadi mangsa.. Sedih betul aku...

Pada artikel terkini utusan online yang aku baca malam semalam (11.11.11), menceritakan sebenarnya selepas bas terbabas kebanyakan pelajar hanya cedera ringan. Namun ajal ditangan Allah... Jom baca artikel akhbar hari ni untuk pembacaan selanjutnya.. 

AL-FATIHAH.....

 
SLIM RIVER 11 Nov. - Beberapa mangsa yang terselamat dalam kemalangan maut di Behrang awal pagi ini, menceritakan detik-detik cemas dan ngeri apabila sebuah treler muatan pasir merempuh bas persiaran mereka yang terbalik.

Ketika kejadian, kebanyakan mangsa yang merupakan pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Air Merah, Kulim, Kedah sedang merangkak keluar dengan sebahagian besarnya mengalami kecederaan.
Dalam suasana gelap dan riuh rendah, beberapa mangsa menjerit 'lari, lari' ketika melihat treler berkenaan menghampiri bas sebelum merempuh belakang kenderaan itu.

Seorang mangsa, Mohd. Shah Redzuan Samsudin, 15, berkata, dia masih terbayang saat-saat pilu melihat rakan karibnya, Khairul Anwar Azhan maut akibat tersepit di belakang bas ekoran rempuhan treler berkenaan.
"Khairul Anwar sedang membantu rakan-rakan lain keluar dari belakang bas sebelum rempuhan treler menyebabkan dia mati tersepit. Saya tidak sempat memintanya lari kerana kejadian berlaku terlalu pantas," katanya yang patah lengan kiri.

Selain Khairul Anwar, turut terbunuh dalam kejadian itu ialah guru mereka, Siti Hajar Mohamad, 33, pelajar perempuan, Maysarra Zaidi, 15 dan Ketua Wanita UMNO Cawangan Kampung Alor Teja, Basarah Saad, 45, yang kebetulan berhenti di tempat kejadian.

Seorang lagi mangsa terselamat, Farhana Nabilah Rosidi (gambar), 15, pula memberitahu, pada satu ketika dia sudah berjaya keluar dari bas itu tetapi tiba-tiba terpelanting dan mendapati badannya tertimbus dalam pasir yang bertaburan di lebuh raya.

"Tidak lama kemudian, seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tolong tarik saya keluar dari timbunan pasir itu," katanya ketika ditemui di Hospital Slim River di sini hari ini.

Sementara itu, seorang anggota JPAM, Hisharizul Abdullah, 30, berkata, dia yang tiba di tempat kejadian pukul 4.45 pagi mendapati, semua penumpang bas terbaring di tepi lebuh raya dan ada yang tertimbus di dalam pasir.
"Saya kemudian menarik keluar seorang budak perempuan yang tertimbus dalam pasir. Di hadapan budak itu, saya lihat ada seorang penumpang lagi yang terbaring dan saya mendapati dia sudah mati selepas memeriksa denyutan nadinya.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Alor Setar, Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah, 59, yang kebetulan singgah di tempat kejadian bersama Basarah memberitahu, dia sempat melihat pelajar-pelajar terbabit merangkak keluar sebelum bas itu dirempuh treler berkenaan. atanya, ketika kejadian, dia dan rombongan UMNO bahagian tersebut dalam perjalanan ke Selangor sebelum berhenti memberi bantuan kerana kasihan melihat keadaan pelajar terbabit.
"Selepas berjaya mengeluarkan dua pelajar dan cuba mengeluarkan mangsa ketiga, pemandu bas bertempiaran lari selepas melihat sebuah treler datang ke arah mereka dan merempuh bas itu. "Bimbang berlaku letupan, pemandu itu pergi ke bas dan meneruskan perjalanan sejauh kira-kira satu kilometer sebelum menyedari kehilangan Basarah," katanya.

Katanya, pihaknya hanya mengetahui Basarah terbunuh selepas dimaklumkan oleh seorang pegawai polis trafik pagi ini.

Comments